Paradigma Minda 2009 . @Hak cipta tidak terpelihara. Semua Ilmu milik Allah semata-mata. Nyatakan rujukan.

KUALA LUMPUR 25 Jan. - ”Anak-anak Melayu harus berjuang membela dan menjaga kesinambungan bangsa Melayu di seluruh Nusantara ini”.
Itu adalah antara pesanan terakhir Sasterawan Negara, Arenawati sebelum menghembuskan nafas terakhir di sini awal pagi ini.

Menurut anak kelima Sasterawan Negara itu, Hassanuddin Muhammad Dahlan, 48, Allahyarham sempat memberikan pesanan tersebut sebelum menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 1.30 pagi.

”Ayah merupakan insan yang kuat membela bangsa di Nusantara dan perjuangannya akan kami sekeluarga ingati dan sentiasa ikuti untuk terus mempertahankan diri sebagai bangsa Melayu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Menurut anak sulungnya pula, Rahmah Wati, 53, bapanya merupakan seorang yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan dan budaya bangsa.

Katanya, Allahyarham sering mengingatkannya supaya ”mesti jadi macam padi jangan jadi seperti lalang’ iaitu jangan bersikap sombong walaupun sudah berjaya.

”Arwah mengingatkan kami supaya sentiasa merendah diri serta mendidik kami supaya mementingkan pelajaran agar menjadi seorang insan yang dapat menilai dan menghargai budaya bangsa,” katanya.

Selain itu katanya, Allahyarham juga ada melahirkan rasa kecewa kerana melihat bahasa Melayu terhakis dan bercampur aduk serta bangsa Melayu yang dilihat mementingkan diri sendiri.

Bagaimanapun beliau berkata, bapanya bersetuju program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan kerana ia cadangan yang amat baik.


”Allahyarham berkata, mengapa Indonesia boleh menerima pengajaran sebegini tetapi tidak kita di Malaysia?,” tegasnya.


Apa yang penting kata Rahmah, Allahyarham berpendapat bangsa Melayu seharusnya tidak mudah berubah pendirian dan perlu menjaga maruah diri sebagai orang Melayu.


”Allahyarham mengingatkan, siapa lagi yang hendak menjaga bangsa kita kalau bukan kita sendiri supaya warisan kebudayaan Melayu akan sentiasa terpelihara,” katanya.



Isteri Allahyarham, Halimah Sulong, 77, berkata, pemergian Arenawati sangat menyedihkan tetapi perjuangannya membuatkan mereka sekeluarga akan sentiasa mengingati beliau.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang yang penyayang dan kata-katanya cukup bermakna serta sentiasa mengingatkan mereka sekeluarga supaya jangan sekali-kali lupakan budaya bangsa.

Tambahnya, sehingga akhir hayatnya, Allahyarham masih menulis malah ketika di hospital juga beliau telah menghasilkan skrip terakhirnya bertajuk Bara-Bara Ya.

”Bara-Baya Ya merupakan tulisan terakhirnya yang menyentuh perjuangan Melayu nusantara dan akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama lagi,” katanya.

sumber : Utusan Malaysia 26 Januari 2009

0 Comments:

Post a Comment