Paradigma Minda 2009 . @Hak cipta tidak terpelihara. Semua Ilmu milik Allah semata-mata. Nyatakan rujukan.


KUCHING: Dr Juanda Jaya, anak kelahiran Sarawak yang dilantik Mufti Perlis yang baru, berkata Perlis bukan asing baginya kerana sebelum ini beliau banyak menyertai program berkaitan Islam di negeri itu selain dibawa bersama ke luar negara oleh kerajaan Perlis untuk kegiatan dakwah. 

“Pelantikan saya sebagai Mufti Perlis adalah bukti hubungan integrasi yang telus, dan kalau sebelum ini ramai tokoh agama dari Semenanjung dijemput ke Sarawak dan Sabah, namun hari ini kita juga boleh dijemput di Semenanjung,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Juanda, 37, yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pangarah Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak, akan melapor diri pada Februari depan. 

 

Katanya surat pelantikannya sebagai Mufti Perlis diterima pada akhir November 2008 tetapi ia terpaksa ditangguh ke bulan depan kerana beliau menunaikan haji. 

Menurutnya kerajaan Sarawak membenarkan beliau berkhidmat di Perlis selama tiga tahun iaitu sehingga Februari 2012. 

Juanda berkata dengan pengalaman selama lima tahun sebagai Timbalan Mufti Sarawak, beliau tidak nampak sebarang masalah baginya untuk memberikan perkhidmatan terbaik bukan saja kepada rakyat di Perlis malah juga negara dalam menegakkan syiar Islam. 
 

Sebagai anak Sarawak pertama yang dilantik sebagai mufti di luar Sarawak, beliau berkata ia adalah satu penghormatan tertinggi yang diberikan kepada negeri itu oleh Raja Perlis. 

Juanda menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kontraknya tamat pada 30 November tahun lalu setelah dua tahun berkhidmat sebagai Mufti Perlis. 

Juanda, anak kelahiran Igan dekat Sibu, menuntut di Universiti Al Azhar dari 1991 hingga 1995 dalam jurusan syariah. Sebelum itu, beliau menuntut di Kolej Islam Klang. - Bernama



0 Comments:

Post a Comment