Paradigma Minda 2009 . @Hak cipta tidak terpelihara. Semua Ilmu milik Allah semata-mata. Nyatakan rujukan.

Ini satu Kisah



"INGATLAH DIKALA ANDA SEDANG BERSUKA RIA MASIH ADA INSAN MENCARI SYURGA, DI KALA ANDA KEKENYANGAN , ADA INSAN YANG HAMPIR MATI KELAPARAN"

**** Kata2 tersebut telah dhantar kepada seorang sahabat semasa beliau menghadiri makan malam kolej dan selepas itu beliau telah membelanja kami KFC (maafkan aku Palestin).. Thank You Bro Pzoul...huhuhu

Kahwin semasa belajar melembapkan......

“Ustaz, saya buntu memikirkan bagaimanakah caranya untuk melembutkan hati bapa saya yang degil, enggan membenarkan saya berkahwin semasa belajar. Sedangkan kami sudah bersedia dan ayah pun ilmu agamanya bukan gitu-gitu,” keluh seorang pelajar kepada saya.

“Pujuk dulu. Kalau ayah tak setuju, berhenti sebulan dua. Kemudian tanya lagi,”, saya memberikan cadangan.

“Kalau tak setuju juga?” soalnya.

“Berhenti dua tiga bulan, kemudian tanya lagi,” saya meneruskan ‘nasihat’.

“Kalau macam itu, sempatlah saya habis belajar dibuatnya!” rungut pelajar itu, bosan dengan nasihat saya.

“Baguslah. Itulah trick ustaz!” saya ketawa.

MALAS

“Ustaz macam malas nak beri nasihat sahaja gayanya,” duga beliau.

“Memang malas pun. Banyak kali sangat cerita yang sama. Kenapa tiba-tiba sahaja ramai yang kahwin awal masa belajar setahun dua ni?” saya berterus terang.

“Eh, kenapa pula? Ustaz tak setuju ke pelajar kahwin awal? Bukan sunnah ke kahwin awal ni?” tanya beliau. Nadanya seperti tidak berpuas hati.

“Kahwin itu sunnah. Kahwin awal itu, terserah. Mungkin bagus mungkin tidak. Bergantung kepada keadaan,” saya melangsaikan penjelasan.

Beliau terdiam.

Mungkin faham dengan kebosanan saya untuk menyambung bicara tentang isu ini.

Saya tidak pernah menafikan faedah berkahwin awal. Banyak bagusnya.

Cepat dapat sakinah.

Cepat serba serbinya.

PILIHAN PERIBADI

Tetapi jika saya diberi pilihan, berkahwin semasa belajar dan berkahwin selepas habis belajar, tanpa ada apa-apa situasi yang mendesak, maka saya akan memilih dan mencadangkan pilihan berkahwin selepas habis belajar.

“Wah, kenapa pula ustaz?” tanya seorang sahabat ketika saya berprogram di luar negara.

“Idea ini kontroversi. Dan ia khusus untuk pelajar di luar negara macam kalian sahaja. Dalam negara, ustaz tak komen apa-apa setakat ini,” saya menjawab.

“Idea apa?” soal beliau lagi. Bersemangat sekali mahu mendapatkan jawapan.

“Kahwin awal ini boleh menjadikan kita lembab!” saya memberikan kenyataan.

“Haaa! Ini sudah jadi panas ni ustaz. Kahwin melembabkan? Kali pertama saya dengar. Ramai yang marah nanti ni,” katanya.

“Itu laaa. Tanya lagi. Sebenarnya hal ini berbalik kepada nature seseorang,” saya menyambung jawapan.

“Nature yang bagaimana, ustaz?” soalnya lagi.

“Kalau dia seorang yang tidak adventurous, maka eloklah kahwin awal. Daripada melangut, termenung, mengulang rutin setiap kali musim belajar dan musim cuti, elok benarlah dia berkahwin. Tapi kalian duduk di luar negara, banyak perkara yang boleh diteroka, tengok dunia, pergi merantau, cabar diri! Kalau sudah berumahtangga, apatah lagi sudah beranak pinak, maka sulit sekali untuk semua benda ini nak dibuat,” saya meneruskan jawapan.

Beliau mengangguk. Rakan-rakan yang lain pun tersenyum.


Diskusi panas bersama Amad di pagi itu!

PELUANG SEKALI SEUMUR HIDUP

Peluang belajar di luar negara bukan semua orang berpeluang merasainya. Malah jika belajar di dalam negara sekali pun, peluang menuntut di Menara Gading bukan peluang yang sebarangan. Usia awal 20′an ini adalah peluang yang besar untuk kita mencabar diri. Meneroka dan mencari pengalaman kehidupan.

Itu menjadi sebab utama, mengapa saya tidak langsung mempertimbangkan idea berkahwin semasa belajar.

Bukan tidak terusik hati ini, melihat seorang demi seorang teman berumahtangga. Tambah-tambah pula di musim cuti musim panas. Arab kahwin, Melayu kahwin, semua kahwin. Minggu ini makan mansaf, minggu depan nasi beriyani dengan ayam masak merah!

Tetapi pilihan berkahwin semasa belajar, bukan untuk saya.

Ya, memang zaman belajar adalah untuk belajar. Tetapi definisi belajar itu luas. Bagi yang meletakkan pembelajarannya adalah terfokus kepada kuliah dan pengajian yang formal sahaja, maka fokuslah kepada semua itu dan berkahwin semasa belajar mungkin bisa menambah keelokan hidup belajar begitu.


Namun bagi manusia ‘bertahi lalat’ di tapak kaki seperti saya, zaman belajar itu adalah satu-satunya peluang untuk saya meluaskan horizon kehidupan. Mengembara dengan bebas ke mana-mana sahaja, secara spontan, dengan belanja yang kecil, bukan untuk melancong, tetapi untuk belajar tentang kehidupan.

Segala pengalaman yang saya perolehi dari kembara itulah yang menjadikan saya sebagai SAYA pada har ini. Saifulislam.Com yang saya coretkan hampir satu artikel sehari di musim-musim puncaknya, juga adalah hasil KEMBARA itu. Dan saya tidak dapat membayangkan kembara untuk misi dan visi begitu berlangsung dalam keadaan saya berkahwin dan beranak pinak.

Kerana sifat adventurous yang sama itu jugalah saya terpelanting ke bumi Eropah. Di sana, kebebasan semasa belum berumahtangga itu saya gunakan sepenuhnya untuk memberi dan menerima pada kehidupan di perantauan yang pengalamannya tidak mungkin dapat dibayar dengan wang ringgit.

SARANAN MENGEMBARA

Aktiviti mengembara dianggap sebagai suatu bentuk pembelajaran yang sangat tinggi nilainya bagi sesetengah orang. Kembara itulah yang membuka matanya, membuka tempurung fikirannya, dan belajar mengenal manusia sebagai sasaran ilmu dan teori. Mengenal manusia bukan boleh sekadar membacanya di kertas, sebaliknya ia menuntut pergaulan, interaksi, komunikasi, menikmati kemanisannya, dan menyabarkan diri terhadap kesakitan akibatnya.

Mengembara itu saranan Allah:


Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” [al-Room 30: 42]

Saranan yang sama disebut berulang kali oleh Allah SWT di dalam surah aal-’Imraan [3: 137], al-An’aam [6: 11], al-Nahl [16: 36], al-Naml [27: 69] dan al-’Ankaboot [29: 20]. Para Nabi dan Rasul mengembara, para sahabat Nabi SAW juga bertebaran di serata dunia, alim ulama’ mengembara dan sekalian mereka yang hidupnya ada visi dan misi besar, akan mengembara.

Kembara itu tidak terikat kepada idea merentas sempadan. Mengembara itu adalah perjalanan seorang manusia yang keluar dari zon selesa kepada zon cabaran, keluar daripada kebiasaan kepada dunia baru, keluar dari rutin seharian, kepada mencari mutiara hikmah daripada sebuah kehidupan, dan semua itu sangat sinonim dengan penuntut ilmu zaman berzaman.

BAGI YANG TIDAK

Namun, tetap aktiviti mengembara itu hanya menjadi keghairahan segelintir kita. Justeru bagi segelintir yang lain, mengembara diterjemahkan sebagai membuang masa dan harta, lagha dan tiada kepentingannya.

Terpulang…

Akan tetapi, biar pun seseorang itu tidak mengembara di usia mudanya, dia mempunyai pelbagai aktiviti berkaitan dakwah, tarbiyah, menuntut ilmu dan 1001 cabang-cabang aktivisma siang dan malam yang wajar dimanfaatkan sebanyak-banyaknya. Justeru, menangguhkan seketika plan untuk berkahwin muda, tidak merugikan apa-apa. Ia bukan soal halal haram, tetapi soal mencari yang terbaik dalam hidup.

Tambahan pula dengan demonstrasi ketidak matangan yang dipamerkan oleh segelintir mereka yang merancang untuk berkahwin muda ini tatkala menyatakan keinginan mereka. Tidak berani bersemuka dengan ibu bapa, baru sekali cuba sudah kecewa dan berputus asa, yang mana semua ini menunjukkan kelemahan jati diri yang perlu dirawat sebelum menggalas tanggungjawab perkahwinan. Rawatan itu sebahagiannya berkait rapat dengan pendedahan diri kepada realiti kehidupan.

Mengembara dan beraktivisma adalah salah satu wasilah besarnya.

SUDAH BERSEDIA

Ketika saya mengambil keputusan untuk berumahtangga, salah satu perkara yang menjadi pertimbangan saya adalah pada kesediaan diri untuk menamatkan kembara.

Bersediakah saya?

Sudah puaskah saya berkelana?

Di pertengahan usia 20′an, beberapa kejayaan hidup yang saya capai selepas 1001 mehnah kehidupan, terasa hambar apabila kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama. Sebagaimana manusia paling jahat dihukum penjara agar terseksa oleh sebuah kesunyian, perasaan sunyi itulah yang menggerakkan diri saya untuk mencari teman pelengkap hidup.

Berkahwin, adalah titik pengubah corak hidup saya.

Memang benar langkah kaki menjadi pendek, kebebasan bergerak dan membuat keputusan spontan sudah tidak mungkin berulang lagi. Tetapi ketika itu, ‘batasan’ yang terbentuk mengiringi sebuah komitmen kepada perkahwinan, bukan lagi menjadi sesuatu kekurangan kerana segalanya sudah tiba pada masanya.

Apa yang ingin saya cari, telah saya cari.

Berumahtangga adalah fasa baru untuk peningkatan hidup dan diri.


Lepas kahwin pun masih boleh menulis Diari Kembara, cuma lain sedikit catatannya

Di sinilah saya katakan, bahawa jika seseorang itu ada keinginan untuk adventurous di dalam diri, maka berkahwin semasa belajar sesungguhnya akan menjadikan kita lembab. Tetapi jika seseorang itu secara peribadinya adalah seorang yang tidak menjadikan pendedahan diri kepada dunia luar sebagai salah satu agenda yang ada kepentingannya kepada diri, maka keseluruhan artikel ini tidak relevan buatnya.

“Lepas berkahwin pun boleh juga terus aktif, ustaz!” seorang pelajar mencabar teori saya.

“Hai, baru sahaja kita ‘mengumpat’ tentang sahabat-sahabat yang baru berkahwin ni, susah benar nak panggil mesyuarat, kan?” saya mengusik.

Semua ketawa. Bukan mengumpat, tetapi cuba mencari punca.

“Lagi pun, kalau nak travel, kena fikir tiket pasangan, apatah lagi campur anak-anak. Sekali travel, beribu-ribu ringgit jawabnya”, saya menambah.

“Apalah sangat travel tu, nak dibandingkan dengan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata!” katanya penuh semangat.

“Idea ana hanya untuk mereka yang sanggup menangguhkan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata itu dari mengecapinya pada awal 20′an kepada pertengahan 20′an, kerana ada visi dan misi tertentu”, saya mengulangi pra syarat diskusi tadi.

“Jadi, kesimpulan ustaz, berkahwin awal ini melembabkan orang macam ustaz betul tak?” katanya penuh berani.

“Haha. Betul! Cuma, apa yang dikatakan sebagai ‘orang macam ustaz’ tu, terserah kepada anta mendefinisikannya,” saya mengakhiri perbualan.

NASIHAT PERIBADI

Nasihat peribadi saya kepada adik-adik di bangku pengajian, terutamanya buat mereka yang menuntut di luar negara, gunakanlah peluang semasa belajar ini untuk meneroka kehidupan habis-habisan. Mengembara, mencari pelajaran dari sebuah pengalaman, keluar dari kelompok sebangsa seagama untuk mempelajari realiti, lakukan semua ini pada setiap detik dan masa yang terhad itu.

Justeru, selesaikanlah dulu pengajian sebelum bernikah. Dengan ibu bapa pun mudah cerita, prospek diri sebagai manusia da’i juga banyak kelebihannya.

Mungkin dengan lima tahun penangguhan keinginan berumahtangga itu, membolehkan anda menawarkan lebih banyak bahan perkongsian berupa pengalaman dan kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan ummah.

Apa yang penting, jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh.

Berkahwin jangan kerana terikut-ikut.

Taqlid buta dalam beragama mengundang binasa, taqlid buta dalam berumahtangga juga mengundang bencana.

Panas! Panas!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur



Kahwin Muda dan Bahagia..


Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah dikalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi Maha Mengetahu
i (QS Annur :32)

Merupakan suatu perintah Allah agar segera menikahkan orang-orang yang masih bujang di kalangan kita.Bahkan seandainya kita termasuk golongan yang tidak mampu, jangan bimbang Allah swt sendiri akan memampukan kita.

Andai kita belum yakin dengan ayat Allah SWT perkataan apa lagi di dunia ini yang dapat menjadikan kita yakin terhadap sesuatu? Bah kan Rasullulah juga bersabda yang bermaksud:

“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)
(Hadith riwayat Imam Ad Dhalani) dalam Musnad Al Firdaus

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda, “
3 golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah swt ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya” (Hadith riwayat Thabrani) dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim, dari Ad Dur Al Mantsur.

Abu Bakar As Siddiq pernah berkata “ Taatlah kamu kepada Allah dalam apa yang diperintahkan kepadamu iaitu perkahwinan,maka Allah akan melestarikan janjiNYA kepadamu iaitu kekayaan".

Allah telah berfirman “
Jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya” (QS Annur:32)

Apa lagi alasan mereka yang telah diberi kesihatan tubuh badan ,keinginan yang kuat untuk bersama pasangan dan mempercayai Allah sebagai tuhan(ialah) untuk mengatakan diri ini belum memilih nikah sebagai jalan? Andai membujang itu suatu pilihan yang diberikan kepada mereka yang beriman.Maka ia adalah sesuatu yang dikategorikan sebagai kehinaan.

Rasullah bersabda lagi,Hadith Saad bin Abi Waqas berkata :
”Rasullulah saw melarang Uthman bin Mazun dari membujang,seandainya baginda merestuinya,pasti kami akan membujang" (Sahih Muslim)

Sabda baginda lagi: dari Anas ra, Rasullulah Al Ma’shum bersabda,
“Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya". (Hadith riwayat Baihaqi)

Ibnu Ma’ud pernah mengatakan, "Seandai tinggal sepuluh hari sahaja dari usiaku ,niscaya aku tetap ingin kahwin agar aku tidak menghadap Allah dalam keadaan masih bujang"

Sahabat-sahabat sekalian,seandainya mahu merenung akan hadith-hadith ini,maka apa lagi yang dinanti,berusahalah sedaya upaya kita untuk menikah.Kerana hadith yang menyuruh bernikah berbunyi:

Abdullah bin Mas’ud ra: diriwayatkan dari Al Qamah ra katanya:

"Aku berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah ra yang kemudian menghampiri Abdullah ra. Setelah berbincang beberapa ketika,Othman ra bertanya,wahai abu abdul rahman;mahukah aku jodhohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah mudahan perempuan itu akan dapat mengigatkan kembali masa lampau mu yang indah"

Mendengar tawaran itu Abdullah ra menjawab;

"Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah di sabdakan oleh rasullulah saw kepada kami "

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puas itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(Hadith riwayat Muslim)

Seandainya kita telah berusaha sedaya upaya,serahkanlah semuanya pada Allah.Dialah yang memberi rezeki.Bukanlah orang itu termasuk dalam golongan tidak mampu,seandainya dia terus membiarkan dirinya saja,tidak berbuat apa-apa lalu apabila ditanyakan kepadanya lalu dia menjawab TIDAK MAMPU.Akan tetapi seorang yang tidak mampu adalah mereka yang telah berusaha sekuat hati ,namun hasilnya tetap di tahan oleh Allah SWT sebagai ujian untuk dirinya.


Seorang saudara mengadukan dirinya yang masih kurang iman kepada sahabatnya,
"Saya rasa masih tidak kuat lagi untuk menikah” .

Jawab sahabatnya,
"Justeru kerana kamu masih belum kuat imanlah kamu harus menyegerakan nikah, kan nikah itu menyempurnakan separuh dari agama ?"

Lantas di sebabkan iman kita yang kurang inilah kita harus segera bernikah.Bagaimana kalian sahabat-sahabat ku? Luruskan niatmu , jangan bernikah kerana keSERONOKan di dalamnya,jangan pula kerana orang mengatakannya BAIK atau apa sebab lain pun selain dari
Aku nikah kerana ALLAH dan RASUL SURUH !

Dan carilah pernikahan yang barakah.Zainab bin Jashyi dan Zaid bin Harithah yang cukup kuat iman mereka pun bercerai akhirnya.Zaid anak angkat Nabi,kekasih nabi,panglima perang ,manakala Zainab,ummul mukminin, satu figura yang tidak mungkin ada kelemahan dari imannya, mungkihkah lagi keimanan mereka diragukan.Lantas sahabat semua serahkan segalanya pada Allah SWT.

Bahagia bukan terletak pada kesenangan hidup,banyaknya harta,indahnya pasangan dan sebagainya.Bahagia itu terletak pada, firman Allah



“ Dan diantara tanda-tanda(kebesaran)Nya ilah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa temteram kepadanya.Dan menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang”. (QS anRuum:21)