Paradigma Minda 2009 . @Hak cipta tidak terpelihara. Semua Ilmu milik Allah semata-mata. Nyatakan rujukan.



Faktor Melayu jamin kuasa politik 

Oleh ARIF ATAN 

Kepimpinan kerajaan negeri Perak kini ibarat dua nakhoda dalam sebuah kapal apabila Mohammad Nizar Jamaluddin tekad ‘mohon derhaka’ untuk tidak mematuhi titah Sultan Perak dengan enggan melepaskan jawatan Menteri Besar yang disandangnya baru 10 bulan itu.

Malah, tindakan Nizar bersama exco kerajaan negeri 'buangan' yang datang juga ke Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi tadi amat mengaibkan apabila diarah keluar semasa membuat sidang media. Marah benar Nizar apabila dilaporkan sempat menjerit “what the hell” terhadap tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim itu. 

Walhal, keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah terang lagi bersuluh. Kenyataan media Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan jelas menunjukkan Baginda tidak berkenan membubarkan DUN dan menitahkan Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta-merta. Ini selaras dengan dengan peruntukkan XVI (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan. 

Sedangkan air pun ada pasang surutnya inikan pula realiti politik yang serba-serbi berkemungkinan. Hakikat inilah yang harus diterima dengan hati terbuka oleh Nizar serta para pemimpin dari mana-mana parti politik sekali pun di negara ini.

Anggaplah peralihan kuasa yang berlaku sebagai hasil ‘tuaian’ daripada gaya pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini yang bagaikan kera mendapat bunga. 

Tidak keterlaluan dikatakan, mereka sebenarnya sengaja makan diri dengan menempah keranda politik untuk diri sendiri sejak usainya pilihan raya umum ke-12 lalu.

Atas tafsiran satu bangsa Malaysia mereka yang terpesong daripada apa yang sepatutnya maka banyak tindakan yang telah dibuat oleh Nizar dan ahli-ahli exconya membelakangkan orang Melayu atas anggapan pengundi bukan Melayu adalah penentu kelangsungan politik mereka dalam pilihan raya akan datang. 

Tambahan pula, dengan kedudukan 17 kerusi DAP berbanding 6 milik PAS dan 5 lagi PKR, umum tahu ‘siapa’ di sebalik setiap keputusan Nizar sebelum ini.

Mereka lupa dalam masa yang sama, akhirnya suara orang Melayu serta institusi raja berperlembagaan jugalah faktor penentu utama yang akan mencorak sejauhmana kekuasaan serta kestabilan sosiopolitik sesebuah kerajaan. Mandat rakyat menerusi peti undi bukan segala-galanya. Sistem politik kita sebenarnya tidak dapat lari daripada hakikat ini. 

Institusi kesultanan Melayu Perak bukan sekadar lambang autoriti yang sewenang-wenangnya tidak dipeduli. Sebaliknya, berperanan sebagai penjaga kepada negeri dan semangat demokrasi itu sendiri dengan bertindak selaku agen semak dan imbang yang mesti dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.

Ini penting demi mengelak keadaan politik negeri itu terhumban dalam ketidakstabilan politik yang berterusan. Oleh itu, adalah keterlaluan jika Nizar termasuk Pakatan Rakyat amnya enggan akur akan ketetapan Sultan sedangkan dari segi perlembagaan negeri, kuasa melantik Menteri Besar adalah hak Baginda.

Apapun, kemelut politik yang melanda Perak sebenarnya isyarat bahawa padah akan menimpa bila-bila masa sahaja kepada mana-mana pimpinan kerajaan negeri selepas ini yang tidak berlaku adil kepada kepentingan masyarakat Melayu. 

Usah atas dasar menjaga hati kaum lain maka hak orang Melayu dikorbankan. Jika tidak nantikan sahaja kuasa politik yang diberi akan menjadi korban pula seperti yang telah berlaku terhadap Nizar dan ‘konco-konconya’.


0 Comments:

Post a Comment