SAYA ingin memberi sedikit pandangan kepada Saudara Zafran dalam ruangan ini (rujuk arkib 28.11.208). Beliau mungkin tidak mengenali lebih dekat Profesor Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU).
Prof. Dr. Awang telah berkecimpung dalam arena bahasa selama hampir 30 tahun. Mana mungkin beliau tidak memahami rencah dan rentak kepentingan bahasa Melayu. Barangkali Saudara Zafran boleh membaca dan mencari maklumat mengenai biodata Awang Sariyan.
Kenapa perlu bahasa Inggeris menjadi pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik? Apa masalah yang dihadapi kalau diajar dalam bahasa Melayu?
Persoalan ini sudah diulas panjang lebar sebelum ini. Persoalannya kini bukan kerana Sains dan Matematik semata-mata. Ini berkaitan masa depan bahasa kebangsaan kita.
Kenapa hanya kedua-dua mata pelajaran itu harus diajar dalam bahasa Inggeris. Kenapa tidak mata pelajaran Sejarah, Geografi, Pendidikan Seni dan sebagainya? Saya tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris kerana hampir 400 juta orang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama di dunia ini.
Tetapi bagaimana kalau kita mengeksploitasikan kelebihan bahasa Inggeris ini untuk memartabatkan bahasa Melayu. Bukan untuk menafikan peranannya sebagai bahasa ilmu.
Organisasi yang kita boleh sandarkan harapan ketika ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP sebagai badan memperjuangkan bahasa harus berani 'mengaum' walaupun pangkat dan kedudukan menjadi taruhan.
Struktur dan corak DBP harus dinilai semula. Cadangan saya agar DBP diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Biarpun tiada masalah jika ia berada di bawah Kementerian Pelajaran tetapi seolah-olah skopnya hanya untuk pelajar sekolah.
Kita mahu bahasa ibunda dipertahankan dan dipertingkatkan. Misi itu jelas dan tidak akan berubah selagi Perlembagaan Negara masih terpelihara 'kesuciannya'.
DBP boleh bertindak menaungi bahasa-bahasa lain di Malaysia ini. Saya ingin melihat puisi, cerpen, rencana, syair bahkan pantun (kalau tepat rimanya) sekalipun dalam bahasa Iban, Melanau dan pelbagai lagi bahasa yang ada di Malaysia.
Tetapi harus diingat bahawa bahasa Melayu adalah salah satu tunjang dan wadah perjuangan DBP.
Soal ilmu dan pembelajaran bukan satu perkara yang boleh dicuba-cuba. Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang diibaratkan 'lebih kuah dari sudu, lebih Inggeris dari Melayu'.
Penguasaan bahasa Melayu kita pun masih di tahap merangkak, terus hendak berlari mendapatkan bahasa Inggeris. Ini bukan soal perkauman tetapi penyatuan.
Selama berpuluh-puluh tahun, bahasa Melayu menjadi bahasa penyatuan rakyat Malaysia. Tiada masalah pun sehinggalah ada pihak cuba menafikan peranan bahasa kebangsaan kita ini.
Ajarlah ilmu pengetahuan selaras ayat al-Quran di bawah:
''Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." - Surah Ibrahim, Ayat 4
Setiap daripada itu, kita harus mempunyai kesedaran berterusan betapa pentingnya bahasa Melayu dipertahankan. Matlamat kita jelas dan tegas, mahu matapelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa ibunda.
Wahai rakyat Malaysia, kita ada tiga pilihan - melawan, menyerah kalah atau membaca penyataan ini sambil menggeleng-gelengkan kepala.
MUTALIB KASIM
Pelajar Tahun Akhir
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)